July 30, 2009

Impian Aku

HATI mana yang tidak puas apabila segalanya disempurnakan sendiri,daripada cernaan ilham untuk melahirkan sebuah novel sehingga ia tiba ketangan pembaca. Bagi penulis novel, Samsiah Mohd Nor, langkah menerbitkan novel sendiri bukan sekadar mencipta kepuasan malah meluaskan pengetahuan dengan mempelajari lebih banyak selok-belok bidang penerbitan.

"Saya ingin mencari kepuasan. Justeru, saya mula menerbitkan novel sendiri kira-kira lima tahun lalu. Ia membolehkan saya melahirkan novel dengan cara saya sendiri, malah proses awal seperti penyuntingan, susunatur dan grafik, segalanya dilakukan sendiri bersama suami. Apabila terbitkan novel sendiri, kita tak perlu menantikan giliran buku kita memasuki pasaran memandangkan lazimnya sesebuah syarikat penerbitan mempunyai bilangan penulis yang ramai," katanya.

Dia yang kini membariskan 18 judul novel sejak pembabitannya dalam bidang berkenaan pada 1989, beranggapan proses menerbitkan buku sendiri tidak begitu sukar, namun ada kalanya ia agak cerewet. Dugaan awal waktu menerbitkan novel juga tidak kurang hebat apabila novel Tangisan Bulan Madu (TBM) Tiga yang sudah siap dicetak ribuan naskhah didapati tidak lengkap. Beberapa helaian terakhir novel itu tidak dicetak sedangkan novel sudah siap berbalut rapi untuk mula diedarkan dipasaran.

"Tak dapat nak bayangkan perasaan saya waktu itu tetapi nasib baik kerana ia belum diedarkan. Dalam masa dua minggu, pencetak berjaya memperbaiki kesilapan dengan menambah muka surat yang tak dicetak pada ribuan buku itu," katanya.

Sejak 2001, tiga novelnya diterbitkan sendiri iaitu TBM Tiga, TBM Empat dan Cinta Jati Klasik selain sebuah lagi novel tulisan Puteri Andalas.

"Kalau lama tak terbit buku, rindu rasanya. Seronok menantikan siapnya proses susun atur atau berkejar ke kilang menjenguk buku yang masih dicetak. Lantaran itu, saya pastikan setiap tahun ada sekurang-kurangnya sebuah buku dicetak," katanya yang mengusahakan Khalysa Publications di Bandar Baru Bangi ini.

Ahadiat Akashah yang terus diingati ramai menerusi novel popular BudakSetan (diterbitkan 21 tahun lalu), menyifatkan proses penerbitan buku sendiri tidaklah serumit mana terutama apabila memiliki segala kelengkapan berkaitan penerbitan. Bermula sebagai kelindan van yang membuat penghantaran buku di syarikat penerbitan Marwilis Publisher, Ahadiat memang berpengalaman luas dalam bidang penerbitan, daripada penghasilan manuskrip hinggalah ke peringkat percetakan.

"Mesin pencetak buku saja yang tiada, agaknya kalau mampu memiliki mesin itu, cetak buku pun saya lakukan di rumah," kata penulis yang mula menerbitkan novel sendiri dengan menubuhkan syarikat Melati Publisher SdnBhd pada 1992.

Ketika itu, bapa saudaranya yang menyediakan modal kira-kira RM100,000 menawarkan Ahadiat untuk menerbitkan novel sendiri apatah lagi penulis ini juga sudah menghasilkan beberapa novel. Kediamannya kini di Lingkaran Tengah, Gombak turut menempatkan ruang untuknya menjalankan beberapa proses penerbitan novel termasuk menyiapkan filem sebelum dihantar ke syarikat percetakan.

"Penerbitan sendiri bagi saya lebih menjimatkan kos. Ia juga taklah begitu sukar meskipun dilakukan sendiri di rumah apatah lagi sebelum ini saya banyak didedahkan dengan pelbagai proses penerbitan. Bagi mereka yang mahu menerbitkan novel sendiri, antara aspek yang harus diketahui adalah penggunaan beberapa perisian misalnya menyiapkan susun atur novel serta keperluan pencetak laser berkualiti tinggi yangmempunyai ciri khas seperti imej `cermin’ bagi menghasilkan filem yang akan dihantar ke syarikat percetakan," kata penulis yang tersenarai di dalam Malaysia Book of Records kerana penghasilan 72 judul buku sehingga kini.

Selain penerbitan novel sendiri, Ahadiat menerbitkan novel 20 penulis lain termasuk mereka yang baru berjinak di bidang penulisan. Lantaran kurang berpuas hati dengan sesetengah penerbit dan kedai buku,Mohd Faizal Musa atau lebih dikenali menerusi nama pena Faisal Tehrani,mengambil langkah menerbit dan menjual novelnya sendiri. Salah satu novel terbitannya, Tunggu Teduh Dulu, memang sukar ditemui di kedai buku kerana ia hanya dijual secara dalam talian atau pesanan surat menyurat.

"Buku Melayu aliran karya popular memang ada ruang di kedai buku tetapi buku yang lebih cenderung kepada sastera tinggi lazimnya kurang digemari.Di sesetengah tempat, pembaca juga pernah menyatakan sukar mendapatkan buku tulisan saya lantas saya mengambil keputusan untuk menerbit dan memasarkan buku sendiri," katanya.

Budaya menerbitkan novel sendiri, baginya, masih baru di negara ini namun dia tetap optimis terhadap perkembangannya.

"Banyak ruang yang boleh diperbaiki, malah saya akui kurang pengalaman dalam bidang penerbitan dan lemah dari segi pemasaran. Bagaimanapun, kaedah jualan kini yang kebanyakannya dilakukan menerusi dalam talian banyak membantu apatah lagi novel dijual terus kepada pembaca," katanya yang turut menerbitkan buku berjudul Kumpulan Cerpen Underground (Siri satu dan dua).

p/s: Maaf, artikel ini aku copy and paste saja. laman webnya aku tidak sertakan untuk kalian kerana kealpaan aku. Psttt..psttt. Idea yang menarik, bukan? Hah, nantikan pula Mahar Media yang bakal ditubuhkan sedikit masa lagi. Pastikan anda memberikan sokongan pada MM, okeh? Thanks!!!

3 comments:

Jo said...

kamu minat sangat sastera kan?




saya suka bahasa.
indah sangat.

:)))

.Gha A. said...

saya sangat menggilakan karya ahadiat akashah. kadang2 bahasa kurang ajar, tapi gorgeous! :)

aZRi aZLaN said...

to

yazith,
ye, sgt minat. INDAH

lil^
tau xpe. suka suka suka