Baca cerita sebelumnya di sini
Malam itu, Azri mengelamun lagi di ruang beranda biliknya. Kerja-kerja pejabat yang menimbun di atas meja, terbengkalai dan tidak disentuh langsung. Niat di hati mahu selesaikan kerja-kerja itu di rumah namun hatinya masih lagi rawan. Pegal bak kata orang jawa. Cintanya kali ini benar-benar memakan dirinya sendiri. Itulah, siapa suruh mempermainkan perasaan wanita. Kelak, diri sendiri yang merana! Nah, rasakan Azri!
Angin yang bertiup pada malam itu, menampar lembut ke pipi lelaki yang sedang duduk di atas kerusi kayu. Sengaja dia menyediakan ruang itu untuk dirinya sendiri. Jika hatinya dilanda keresahan, itulah yang akan dia lakukan iaitu duduk sambil melihat bulan dan bintang yang bertaburan di angkasa raya. Hatinya bertambah sejuk. Lebih selesa. Lebih tenang dan mampu membuatkan otaknya berfikir dengan waras.
“Kalau nak cari isteri, cari yang berketurunan baik-baik. Tak cantik pun tak apa sebab cantik tu hanya luaran. Kalau dah tua, berkedut juga mukanya. Lagi satu, cari yang berpelajaran dan kuat pegangan agama. Jangan main taram aje. Macam ibu tak tau perangai kau. Pantang nampak perempuan berdahi licin, kau pun pikat. Karang, lama-lama kau yang merana”.
Kata-kata yang berbaur nasihat Puan Saleha masih lagi terngiang-ngiang di gegendang telinga Azri. Dia seolah-olah dapat medengar bisikan itu secara realiti walhal ibunya berada di Johor Bahru kini. Dia pula merantau ke tempat orang untuk mencari rezeki.
Azri sudah makan hati dengan sikap dan kelakuan Anees sejak akhir-akhir ini. Bermacam-macam alasan yang diberikan oleh gadis itu hanya untuk melepaskan diri daripada tanggungjawab. Dia bukan tidak cinta tapi bolehkah dia meneruskan hubungannya dengan Anees? Bermadu kasih dengan seorang gadis yang tidak mahu terikat dengan tanggungjawab, bukankah itu mencari nahas namanya? Andai jodoh antara mereka kuat, bolehkah Anees menggalas tanggungjawab sebagai seorang isteri? Bagaimana jika mereka berkahwin kelak? Atau tanggungjawab itu dilepaskan pada orang lain? Pembantu rumah contohnya.
Jika hal itu diketahui oleh Puan Saleha, pasti orang tua itu menentang dan juga melarang. Katanya, anak-anak perlu diasuh dengan tangan dan acuan suami dan isteri . Bukan pembantu rumah. Jika tanggungjawab itu dilepaskan pada pembantu rumah, pelbagai masalah akan timbul di kemudian hari. Anak lari dari rumah, kurang ajar dengan ibu dan bapa, dan apa yang ditakuti, si anak akan lebih menyayangi pembantu rumah lebih daripada ibu dan bapa sendiri! Lihat dan baca saja berita yang terpampang di dada-dada akhbar saban hari. Amat mengerikan!
‘Kalau ibu tau sikap dan perangai Anees yang sebenar, mati aku. Baru bertunang, dah macam-macam masalah berlaku. Belum lagi kahwin. Kalau dah kahwin, aku tak tahulah nak jadi apa. Habis, takkan aku nak korbankan cinta aku? Ah, berserabut kepala otak aku!’.
Azri bermonolog. Dia mengalihkan batang tubuhnya. Kali ini, berdiri pula. Mungkin sudah berkematu punggungnya dek kerana duduk di atas kerusi kayu yang keras tanpa beralaskan span itu. Bosan asyik melayan perasaan sendirian, Azri berjalan menuju ke bilik Ilham, teman serumahnya.
“Am, kau keluar tak malam ni? Tolong isikan minyak kereta aku, boleh? Aku malaslah nak keluar. Banyak kerja yang nak dibuat” soal Azri perlahan.
Ah, alasan semata-mata. Banyak kerja konon. Sebenarnya, dia sangat malas keluar malam ni. Ajakan Anees untuk berbuka puasa bersama-sama juga ditolak mentah-mentah. Moodnya hilang tapi cintanya masih lagi ada. Masih utuh seperti kali pertama dia bertemu dengan gadis itu.
“Keluar. Tapi lambat sikit. Dalam pukul 10.00 sebab Farah ajak aku tengok wayang”.
Ilham menjawab soalan itu dengan lambat. Tumpuannya kini ada pada skrin televisyen. Khusyuk sangat agaknya bermain PS2. Detik hati Azri. Kadangkala, dia mahu menjadi seperti Ilham. Cemburu dengan Ilham. Ilham kelihatan sentiasa gembira dan tersenyum. Hubungannya dengan Farah bagaikan tiada apa-apa masalah. Begitu juga dengan kerja. Ilham tak pernah membawa pulang fail-fail yang menimbun sepertinya.
“Hah, bagus. Kalau macam tu, kau bawalah kereta aku. Tapi jangan lupa pulak isi minyak. Tangkinya dah kosong dah tu. Kalau kau kena tolak kat tengah jalan, aku tak tau. Nah, ni duitnya” ujar lelaki itu seraya menghulurkan dua keping not RM50 kepada Ilham.
“Bagus betullah kau ni, Azri. Aku baru nak pinjam kereta kau. Tup, tup kau sendiri yang bagi. Kiranya macam pucuk dicita, ulam mendatanglah ni”.
“Kenapa dengan kereta kau? Apa yang rosak?”.
Ilham menekan butang ‘pause’ di joystick PS2 miliknya. Kemudian, dia memusingkan tubuhnya lalu menghadap Azri yang sedang tercongok menunggu jawapannya di muka pintu.
“Aku tengah keringlah, bro. Maklumlah, tengah bulan. Nak isi minyak, tak cukup duit pulak. Kau kan tau Farah macam mana. Malam ni kalau poket aku tak kopak RM100, tak sah”.
Ilham meneruskan kembali permainannya. Mungkin dia tak sedar jam di dinding sudah menunjukkan ke pukul 9.10 malam. Katanya nak keluar pukul 10.00. Malam minggu begini, di Kuala Lumpur, jalan pasti sesak dengan umat manusia.
“Am, dah pukul 9.10 dah tu. Kau nak keluar pukul berapa? Nanti Farah marah sebab kau lambat datang jemput”.
“Ah, ok. Aku nak ‘quit’ games ni dulu”.
Ilham bergegas untuk bersiap-siap manakala Azri bergerak ke ruang tamu rumah sewanya. Sudah hampir 4 tahun dia berkenalan dengan Ilham. Sejak zaman universiti lagi. Di universiti juga, dia berkenalan dengan Anees kerana mereka bertiga intake yang sama. Cuma bidang pengajian saja yang berbeza. Farah pula junior mereka.
Ah, Ilham juga punyai masalah. Kenapa aku fikir setiap perhubungan itu perlu mendatar saja tanpa ada sebarang masalah? Seperti juga laut. Adakala pasang, adakala surut. Adat orang bertunang. Bak kata orang tua-tua, masa bertunang inilah, ujian melanda tak henti. Untuk apa? Untuk menguji tahap kesabaran dan juga kasih sayang kita pada pasangan. Ah, tidakkah dia sedar itu semua?
Cemburunya pada Ilham tidak bertempat. Temannya itu juga ada masalah. Secara tidak langsung, Ilham sudah menceritakan masalahnya dengan Farah sebentar tadi. Oh, baru dia faham kenapa Ilham kelihatan gembira dan wajahnya seperti tidak punya masalah langsung. Ah, dia perlu bersyukur kerana tidak mempunyai masalah yang melibatkan kewangan! 4 tahun bersama, Anees tidak pernah meminta-minta untuk dibelikan sesuatu. Azri perlu bersyukur dengan apa yang dimilikinya. Dia yakin masalah itu hanyalah sementara saja! Tapi sampai bila Anees mahu menolak lamarannya?
4 comments:
bagi Anees masa. This matter regarding to time, ok bro :)
ps: ini karya atau cerita sebenar? he he.
to Lil^GriZzLe A,
sis, ini adalah cerita rekaan semata-mata. tidak ada kena mengena dgn yg hidup atau yg telah meninggal dunia. hehehe...
kau org jawa jugak ke azri??
to ayisy,
ye, aku mmg org jawa. kenapakah?
Post a Comment