June 26, 2009

Andai Tiada Lagi Hari Esok

Sebagai Islam dan juga hamba ALLAH S.W.T, kita seringkali lupa dengan tujuan kita diciptakan. Lupa dengan amal ibadat yang perlu kita lakukan kerana kita asyik dengan perihal duniawi, khayal dengan kehidupan yang hanya seketika ini. Aku tak mahu menuding jari ke mana-mana arah kerana aku juga begitu selalunya. Adakala, tertinggal solat Isyak dan terlajak untuk solat Subuh. Sebenarnya memang betul apa yang dikatakan oleh kebanyakan daripada kita. Sesungguhnya janji ALLAH itu benar, kata-kata Al-Quran itu benar yang kematian akan datang menjengah.

Ah, pasti kalian merasa pelik dan hairan. Kenapa aku membicarakan persolan kematian dan ketuhanan yang sememangnya menyimpang daripada bidang yang aku pelajari. Walaupun menyimpang jauh, ia tak bermaksud aku jahil dan buta tentang Islam. Apa itu pahala dan dosa. Apa itu syurga dan neraka. Entah kenapa, aku asyik merasakan kematian yang semakin menghampiri. Kematian yang pasti datang ke arah kita yang hidup dan bernafas ini.

Banyak perkara yang bermain-main di minda aku ketika entry ini dicoretkan. Tentang hidup, tentang masa depan, tentang keluarga jika ketiadaan aku dan juga segala macam yang aku sendiri rasa aku tak patut fikirkan. Ah, peliknya aku. Adakah amal aku sudah cukup untuk dijadikan bekalan ke hari akhirat? Adakah ALLAH menerima semua amal dan ibadah yang aku kerjakan? Bagaimana pula dengan syahadah aku? Adakah aku akan pergi meninggalkan alam ini sebagai seorang ISLAM? Nauzubillah, jika syahadah aku terbatal. Jika mahu dikira dan dicongak, aku rasa seperti tak cukup dengan apa yang telah aku kerjakan dan amalkan. Malah, hanya sedikit jika mahu dihitung dengan menggunakan jari.

Melihat kepada semua perkara yang sedang berlaku dan yang telah berlaku dalam hidup aku, aku berasa sangat bertuah dan bersyukur kerana hingga saat ini aku diberikan peluang oleh ALLAH S.W.T untuk menghirup udara dan hidup di bumi-Nya yang sangat luas ini. Ah, aku sangat berterima kasih pada-Mu ya, ALLAH. Dan untuk siapa dan apa juga yang ada kaitan dalam kamus hidup mahupun ingatan aku, aku sangat bertuah dan terima kasih juga kepada ALLAH kerana menganugerahkan dan membenarkan kalian muncul dalam hidup aku.

Aku yakin, kita bertemu ada sebabnya walaupun hanya di alam maya. Aku juga percaya itu jodoh dalam persahabatan. Setiap yang berlaku pasti ada sebab dan alasan yang kita sendiri tak tahu apa hikmah di sebaliknya. Seperti juga kisah Nabi Yusuf A.S. dan juga Siti Zulaikha yang akhirnya menjadi suami isteri. Aku rasa, kita patut berfikir dan merenung jauh ke dalam hati seorang manusia. Kenapa lelaki setampan Nabi Yusuf A.S boleh menerima Siti Zulaikha sebagai isterinya? Sedangkan sebelum mereka bernikah, Siti Zulaikha telah memfitnah Nabi Yusuf A.S hingga menyebabkan Nabi Yusuf A.S dipenjara oleh suami Siti Zulaikha pada ketika itu.

Di sini, aku ada beberapa persoalan yang ingin dirungkai yang aku rasa tidak ada kena mengena dengan situasi Nabi Yusuf A.S dan juga Siti Zulaikha mahupun sesiapa. Sekadar imaginasi dan juga persoalan di minda aku. Adakah seseorang manusia itu akan kekal jahat hingga ke akhir hayatnya walaupun manusia itu sudah bertaubat nasuha? Adakah seseorang manusia itu akan dicop sebagai banduan walaupun sudah meringkuk di penjara hingga 30 tahun lamanya? Dan adakah masih tiada lagi pintu taubat bagi seorang penzina walaupun dia sudah mengakui kasalahannya itu?

Sudah cukup aku mengarut dan terimalah ini sebagai tanda tulus ikhlas dan ingatan Azri Azlan Buat kalian semua…

Kita memerlukan matahari untuk hidup
Tetapi kebanyakan daripada kita alpa dan lalai
bahawa kita juga sangat memerlukan bulan dan bintang,
sama seperti kita memerlukan matahari
Kita memerlukan matahari untuk tumbuh-tumbuhan mengeluarkan oksigen
Kita juga memerlukan bulan dan bintang untuk menemani pada hari malam
Jangan dipersoalkan tentang matahari, bulan dan juga bintang
Juga tentang hukum ALLAH dan juga alam ciptaan-Nya
Kerana itu semua kerja ALLAH, qada’ dan qadar-Nya
Kita hanya perlu percaya dan yakin kepada-Nya

2 comments:

yaziith su anaz said...

mengingati mati itu pahala.





:DDD

ayisy said...

emm? aku ngatkan nak tulis ayisy, tp sbb dah terbiasa aku, tu yg kejap2 tertulis aku. Hahaha... Aku letak Avast nombor 2 la. emm... kau tag aku eh? sory la..tak pasan.. klu tag aku, bgtau kat papan chat tu. ok.. thank.. nnt aku buat ko punyer tag. :)