Salam…
Ketika entry ini dicoretkan, aku baru saja usai bersahur. Berlaukkan ayam goreng, sayur masak air dan juga sambal bawang. Cukup ringkas sekali menunya, bukan? Dengar kata, ibu siapkan dalam masa tak sampai 20 minit. Ah, ketika itu aku ketiduran di dalam bilik dan hanya dibantu oleh Kak Ngah atau pun Iqa. Aku kurang pasti kerana mereka berdualah yang mnegejutkan aku dari tidur. Wah, enak sungguh menjadi lelaki. Pembaca sekalian, jangan menjadi seperti AZRI AZLAN kerana perangai beliau sangat tidak elok untuk diamalkan selalu. Kadang-kadang tu boleh la.
Sebelum aku merepek dengan lebih panjang lagi, aku ingin mengucapkan SELAMAT MENYAMBUT BULAN RAMADHAN AL-MUBARAK kepada semua pengunjung blog “DIARI HATI AZRI AZLAN” terutamanya kepada pengunjung yang beragama ISLAM. Semoga kita semua berada di bawah lindungan ALLAH S.W.T. dan sentiasa mendapat kebarkahan-NYA. Insyallah…
Sudah lama aku tak update blog. 2 hari. Entry yang lepas, aku hanya menceritakan tentang perkembangan terbaru adik kembar aku, JIHA & BIHA yang semakin banyak karenah dan ragamnya. Sejak dah pandai berkata-kata ni, macam-macam yang mereka mahukan sampai tak terlayan jadinya. Sebenarnya, banyak lagi gambar mereka yang aku tangkap ketika itu. Tapi tak semua boleh aku uploadkan di sini. Melampau la kan? Takut nanti ada yang kata aku ni syok sendiri pula.
Okeh, kali aku nak menulis pula. Terasa rindu nak membebel panjang dan menaip seperti kebiasaan. Untuk pengetahuan kalian, sepanjang jarang mengupdate blog, aku leka membaca novel karya DAMYA HANNA yang berjudul ILHAM HATI. Semua sedia maklum bahawa DAMYA HANNA adalah penulis kegemaran aku sejak novel pertamanya hadir. Untuk novel ini, aku memberikan beliau *** daripada *****. Entah, aku rasa aku tak layak nak memberikan ulasan tentang penulisan beliau yang telah menulis 6-7 buah novel sebelum ini memandangkan aku hanyalah seorang penulis picisan yang manuskripnya telah ditolak oleh sebuah syarikat penerbitan gergasi di tanah air beberapa bulan yang lalu.
Usai membaca ILHAM HATI, CHINTA pula menyusul minta dibaca. CHINTA, karya novelis terkenal NORHAYATI BERAHIM baru 61 bab aku baca daripada 142 bab kesemuanya. Setakat ini, hanya satu perkataan yang boleh aku katakan. BEST. Novel terbitan syarikat beliau sendiri, NB KARA SDN. BHD, ternyata memberikan aku satu kepuasan dalam membaca. Walaupun harganya mahal tapi setakat ini aku berpuas hati dengan buah tangan NORHAYATI BERAHIM. Kalau kalian rasa novel terbitan NB KARA mahal, sertailah ahli POPULAR dengan membayar yuran tahunan dan anda bakal mendapat 10-20% discount. Promosi ke? Ah, lantak! Dah aku suka, nak buat macam mana?
Jangan halang kalau ada yang suka membaca novel. Dulu, aku juga begitu. Merendah-rendahkan mereka yang membaca novel terutamanya novel cinta karya penulis tempatan. Sekarang, apa dah jadi? Akhirnya, aku gila dengan novel cinta setelah membaca OMBAK RINDU karya FAUZIAH ASHARI milik Kak Long.
p/s: Selepas menyelami cinta antara Rian dan juga Hanif dalam ILHAM HATI, aku selami juga cinta antara Chinta dan Raja Akid dalam CHINTA. Masukkan diri kalian dalam novel itu dan jadilah sebahagian daripada watak-watak yang dimainkan oleh penulis. Siapa sangka, dalam membaca sebuah novel yang dianggap remeh itu, air mata lelaki kalian mengalir membasahi pipi. Dan ketika itu, ego lelaki hanyalah sebuah mainan duniawi.
No comments:
Post a Comment