Salam!
Hari ini, sudah masuk 8 Syawal. Pada aku, sambutan 1 Syawal yang lalu biasa-biasa saja. Diraikan dengan hanya sepasang baju melayu teluk belanga yang siap dijahit sehari sebelum Aidilfitri. Itulah satu-satunya pakaian aku untuk menyambut Hari Lebaran. Untuk Syawal yang kedua, aku memakai pakaian lama. Lama maksud aku di sini bukan pakaian harian tapi pakaian aku untuk ke kuliah. Mood untuk memakai pakaian baru sudah tiada, mungkin disebabkan factor usia yang semakin menginjak dewasa. Kata ayah, itu normal sementelah dia juga pernah merasai perkara yang sama, pada usia seperti aku. Tahun ini, tiada jeans mahupun t-shirt baru. Apa pun, aku bersyukur kerana aku masih boleh menyambut Syawal bersama-sama keluarga.
Cerita pada 1 Syawal masih belum tertulis. Dalam hati, aku berkira-kira untuk mencoretkan di sini atau pun tidak. Akhirnya, aku catatkan jua di sini sementelah sudah lama aku tidak mengupdate blog ini. Ketika pagi raya, kami sekeluarga masih lagi di rumah memandangkan rumah atuk tidak jauh dari rumah kami. Pagi raya, aku bangun dari tidur agak lewat. Sangat lewat barangkali iaitu pukul 8.30 pagi kerana sebelah malamnya, aku sibuk membersihkan rumah dan memasang langsir yang hanya siap dijahit pada pukul 3.00 pagi. Makanya, tahun ini aku terlepas untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri kerana kesiangan. Ayah yang terlebih dahulu sudah menjejakkan kakinya ke masjid, bergerak sendirian ke kampung tatkala aku dan yang lain-lain sedang menyiapkan diri. Pukul 10.00 pagi, baru kami bertolak ke kampung dan tiba ke destinasinya setengah jam selepas itu.
Di kampung atuk (sebelah ibu), kami bermaaf-maafan. Ketika ini, suasana sayu dan sedih menyelubungi kami sekeluarga (atuk+keluarga mak long+keluarga kami+keluarga Mak Ina+keluarga ucu). Masing-masing aku lihat tidak segan silu untuk menangis dan memohon keampunan. Aku juga begitu. Sedih. Walaupun bibir mengukirkan senyuman, hati ini turut terasa kehilangan arwah nenek. Gambar di bawah tangkap setelah selesai sesi bermaaf-maafan dan air mata.
Itu cerita Hari Raya Pertama. Hari Raya Kedua, lain pula ceritanya. Aku, Kak Long, Adib dan Amir mewakili ayah dan ibu untuk berkunjung ke rumah saudara mara sebelah ayah di Parit Sulong, Batu Pahat, Johor. Mereka tidak dapat bersama-sama kerana Jiha dan Biha demam dan buat hal. Tidak banyak gambar yang dapat aku tangkap kerana aku tertinggal kamera di rumah atuk. Tidak teringat langsung mahu membawa kamera sekali bersama-sama. Nak tak nak, hanya sekeping gambar ini saja yang dapat aku paparkan di sini. Itu pun dengan menggunakan telefon bimbit Kak Long.
Hari Raya Ketiga, kami sekeluarga beraya pula ke rumah saudara mara sebelah ibu. Kami berkunjung ke rumah adik-beradik arwah nenek. Gambar di atas adalah gambar aku bersama adik bongsu arwah nenek. Wajahnya saling tak tumpah seperti wajah arwah nenek.
Ini pula gambar moyang aku (bertudung hijau). Masih kuat dan sihat lagi. Beliau merupakan isteri ke-4 kepada moyang lelaki aku. Kiranya beliau ni moyang tirilah ye? Moyang aku betul dah tak ada. Yang berbaju melayu warna emas itu pula, atuk saudara aku. Kami panggil Tok Yan.
No comments:
Post a Comment