September 16, 2009

Kenangan Aku

Salam!

Hati terasa kehilangan secara tiba-tiba. Masuk raya ini, sudah dua kali aku dan keluarga beraya tanpa nenek di sebelah ibu dan juga kali pertama beraya tanpa atuk di sebelah ayah. Tapi kehilangan itu lebih terasa tanpa kehadiran arwah nenek kerana arwah telah menjaga aku ketika aku masih kecil tatkala ibu dan ayah keluar bekerja. Ketika itu, kami masih tinggal bersama arwah nenek sebelum berpindah ke rumah sendiri.

Bila teringatkan masa-masa terakhir aku dengan arwah nenek, hampir menitik airmata ini. Sungguh sedih melihat penderitaan dan kesengsaraan yang ditanggung arwah nenek. Arwah nenek meninggal dunia akibat penyakit diabetes, buah pinggang dan juga darah tinggi. Penyakit adik-beradik yang kerap berlaku di kalangan orang Melayu kita. Penderitaan arwah nenek bermula apabila ibu jari kaki terpaksa dipotong kerana lukanya telah mengeluarkan nanah (aku tak pasti punca utama luka itu terjadi). Kemudian, kakinya terpaksa dipotong hingga ke betis setelah kuman merebak hingga ke situ. Sehari sebelum arwah meninggal dunia, doktor terpaksa memotong kakinya hingga ke pangkal peha. Jangka masa ketiga-tiga pembedahan itu dijalankan adalah selama 3-4 bulan.

Raya bakal menjelang ni, aku sangat rindu nak makan kek kukus arwah nenek yang ada beribu-ribu lemon kismis dalam kek kukus itu. Aku suka. Berwarna coklat kehitaman, memang menjadi kegemaran aku. Pada aku, makanan yang berwarna coklat+hitam sikit memang sedap, kan? Macam cekodok pisang hari itu. Kek kukus yang Mak Long buat tak sama dengan kek kukus arwah nenek. Ibu lagilah. Tak pernah buat katanya (maaf, ibu aku tak pandai buat kek tapi dia sangat pandai memasak. Dan setiap masakannya menjadi kegemaran aku hingga ke hari ini).

p/s: Insyallah, pagi lebaran nanti aku akan ke pusara arwah nenek dan juga arwah atuk.


No comments: