October 19, 2010

Muflis di Usia Muda

KUALA LUMPUR — Sebanyak 1,046 kes muflis melibatkan kalangan mereka di bawah umur 25 tahun dicatatkan bagi tahun 2005 hingga Julai tahun ini, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong berkata daripada kes itu, 487 atau 46.5 peratus diisytiharkan muflis kerana gagal menjelaskan hutang sewa beli kenderaan manakala 354 orang (33.8 peratus) pula gagal menjelaskan pinjaman peribadi.

Terdapat juga kalangan mereka muflis kerana menjadi penjamin korporat dan sosial, serta gagal menjelaskan pinjaman kad kredit serta biasiswa atau pinjaman pelajaran, katanya.

Liew menjawab soalan Aaron Ago Anak Dagang (BN-Kanowit) berhubung jumlah remaja yang muflis sejak lima tahun lalu dan punca utamanya, pada sesi soal jawab di persidangan Dewan Rakyat di sini.

Menurutnya bagi mengatasi masalah itu, Jabatan Insolvensi sedang mengkaji semula undang-undang muflis supaya prosedur pengisytiharan kebankrapan diperketat dan diperkemas bagi menjayakan pertumbuhan ekonomi negara.

Beliau berkata beberapa inisiatif lain turut dilaksanakan seperti mengadakan 61 program “Outreach and Awareness” di seluruh negara untuk memberi maklumat mengenai kesan buruk jika seseorang diisytiharkan muflis serta cara untuk keluar daripada belenggu itu.

“Hasilnya, terdapat penurunan 44.6 peratus kepada 139 kes kebankrapan melibatkan remaja di bawah 25 tahun pada tujuh bulan pertama tahun ini berbanding 251 kes bagi tempoh yang sama tahun lepas,” katanya.

sumber: sini

1 comment:

AnisSensuous said...

Sebab tak pandai urus kewangan la ni. Alasan gaji sikit, tak cukup. Tapi kenapa orang yang jual nasi lemak kecil-kecilan tepi jalan boleh survive? Kesimpulannya,ukurlah baju di badan sendiri.kan3.

Salam perkenalan :)