July 19, 2011

16 Kubur Islam Kiara Tidak Menghadap Kiblat Dipindahkan

KUALA LUMPUR- Kerja-kerja menggali semula dan memindahkan 16 buah kubur penganut Islam yang tidak dikebumikan mengikut arah kiblat di sebuah tanah lot berhampiran Bukit Kiara sejak 30 tahun lalu berjalan lancar dengan pengawasan ketat pihak polis.

Tinjauan Mynewshub.my ke tempat tersebut mendapati usaha-usaha pemindahan ke tanah perkuburan Bukit Kiara 2 hari ini dilakukan dengan begitu berhati-hati bagi menepati keperluan syarak.

Difahamkan, selain tidak mengikut arah kiblat, tanah itu merupakan tanah rizab Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).


Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan MAIWP pada Isnin lalu, memperoleh kebenaran untuk memindahkan kubur-kubur terbabit.

Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Abdul Walid Abu Hassan membenarkan permohonan tersebut.

Abdul Walid seterusnya memerintahkan agar pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) untuk memberikan kerjasama bagi memastikan proses pemindahan kubur berkenaan berjalan mengikut hukum syarak dan mematuhi prosedur.

Permohonan untuk memindahkan tanah kubur tersebut dibuat secara ex-parte (sebelah pihak) oleh MAIWP pada 6 Julai lalu menerusi peguam syarie, Zulkifli Che Yong.


Pada prosiding Isnin, Zulkifli turut mengemukakan afidavit yang terdiri daripada geran tanah, gambar-gambar kubur dan pandangan ulama bagi menyokong permohonan tersebut.

Zulkifli juga memberitahu, pihak MAIWP juga telah mengadakan perbincangan dengan waris si mati dan sekiranya dibenarkan, semua jenazah itu akan dikebumikan semula di Tanah Perkuburan Bukit Kiara 2.- Oleh SYAHRIL A. KADIR (Mynewshub.my)


Sumber: Mynewshub

No comments: